Saturday, June 16, 2007

Politik Gothik (Parti Keadilan) dan Tim Pencerahan

OLEH Jimadie Shah Othman (daripada blog Republik Kata)

Shamsul Iskandar 1 - Hasmi Hashim 0.

TAHUN ini menyaksikan pertembungan dalaman menarik parti-parti politik pembangkang—perlagaan 'pelik' dalam Parti Keadilan [Rakyat]; juga kem ustaz lawan profesional dalam PAS. Bagi sesetengah orang, pertembungan adalah 'dosa'. Apatah lagi dalam saat dan ketika parlimen boleh dibubarkan bila-bila masa saja.

Menarik untuk kita renung buah fikir Hasmi, Ketua Bahagian Parit Sulong, Johor dan teraju utama Gagasan Pencerahan dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK); dalam blog Keadilan Parit Sulong, katanya, "pertembungan" adalah manifestasi maraknya demokrasi dalam parti, tidak seperti parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) yang menangguhkan pemilihan parti atas alasan pilihan raya makin hampir.

Hasmi memperoleh dua pencalonan kecil dan 51 undi daripada lebih 160 bahagian perwakilan dalam Kongres AMK awal bulan ini. Lawannya, pemangku Ketua AMK, Shamsul Iskandar menang besar dengan 243 undi. Justeru, berapa jauh politik cerah ini boleh pergi? Mungkinkah sampai ke langit?

Seperti selalu, Kongres AMK kelam kabut. Pemilihan tertangguh seketika kerana daftar pengundi tidak tiba. Ada yang mengatakan masalah teknikal, ada yang tidak. Dalam masa yang sama, beberapa orang kuat AMK menarik diri daripada pemilihan kerana tidak selesa dengan 'campur tangan' Anwar dalam parti. Restu Bukit Damansara (kini Bukit Segambut) masih memainkan peranan besar dalam parti ini seakan wahyu dari langit.

Politik yang berpaksikan tokoh nyata tidak lagi sepopular dulu. Selepas Machap dan Ijok, Anwar seperti telah hilang "sentuhan midas". Reformasi berpusing kembali kepada asal jadi. Dalam gerakan ini sendiri, sejak dulu memang ada dua kem. Pertama, untuk mereka yang bersimpati kepada bekas Timbalan Perdana Menteri semata-mata dan ada yang tidak. Ada yang melihat reformasi mesti beyond daripada batang tubuh Anwar kerana dia nyata bukan nabi atau manusia suci. Reformasi ke arah kebaikan adalah hasrat umum yang tulang belakangnya adalah kebebasan dan keadilan. Yakni, benar, kembali kepada fitrah asal jadi manusia.

Hampir sepuluh tahun, Keadilan bergelut mengubah persepsi ini kerana simpati, air mata, dan slogan seperti "justice for papa" kelihatan sudah lusuh. Politik mesti berganjak daripada simpati (dan emosi) kepada pemaknaan dan pengisiannya yang sebenar. Suatu ketika, semua orang tahu bahawa Keadilan ditadbir daripada jeriji penjara. Generasi pemukanya seperti Chandra Muzaffa, juga "12 budak hitam" telah leweh dan pergi seperti kepulan. Yang tinggal hanyalah ikan bilis. Beban itu seperti terlalu berat untuk seorang perempuan, bekas doktor yang wanita, Wan Azizah Ismail, atau lebih mesra kami panggil dia Kak Wan. Jadahnya, selepas Pak Lah berkata "he is a freeman" Anwar Ibrahim terus-terusan jadi 'berhala'.

Hasmi adalah anak muda yang merasa gelodak 1998 yang bersejarah. Ia wujud dalam pembuluh darah semangat bangsa. Ia menemukan sisi dan dimensi baru reformasi yang selalu terlepas pandang. Ia belum sempat mengecap wain politik dalam parti ini. Kerana itu barangkali dadanya selalu terbakar. Antara sisi-sisi itu termasuklah soal-soal kebudayaan dan intelektual—bagaimana mencerahkan manusia politik? Inilah tim yang paling bernafsu dalam sejarah Keadilan.

51 undi kepada Hasmi boleh saja disifatkan sebagai undi protes. Kem Badrul Hisham memilih anak muda Parit Sulong ini sebagai kuda tikam. Seperti dalam bola sepak Liga Inggeris, jika anda tidak sokong Manchester United, anda akan menyorak untuk pasukan lain yang menentangnya. Shamsul adalah Manchester United. Manakala Hasmi adalah pasukan underdog dari divisyen dua. Tetapi 51 undi bukanlah jumlah yang sedikit. 51 undi untuk pasukan underdog boleh mencerminkan kegothikan dalam Keadilan.

Dalam kongres parti awal bulan ini, beberapa calon Tim Pencerahan memperoleh undi memberansangkan. Amiruddin Shari misalnya mendapat undi lebih tinggi daripada ketua penerangan Selangor, Ahmad Zaki Yamani dan beliau menang sebagai naib ketua AMK. Khalid Jaafar masuk liga setelah beberapa pusingan menjadi ketua pasukan sorak padang melalui Institut Kajian Dasar (IKD). Tim Pencerahan adalah buah tangan dan hasil gerak kerja beberapa anak muda semberono dan buta politik.

Mereka lebih dulu memasuki politik idea, politik rasional, politik akal. Politik dilihat sebagai kesinambungan tingkah sejak tragedi Habil-Qabil, melewat ke kota-kota Athena, sehingga Era Pencerahan di Eropah, pembebasan manusia daripada penghambaan, Perang Kemerdekaan Amerika dan seribu sejarah pergolakan dunia. Nyata politik tidak bermula sejak 1998. Atau 1997 setelah Anwar menerbitkan "Gelombang Kebangkitan Asia" (Asian Renaissance).

Hasmi tidak bersendirian, cuma ia kelihatan mundar-mandir dalam kumpulannya yang secubit sambil membawa idea besar-besar. Tetapi di keliling kelalangnya bukan calang-calang orang. Siapa sangka orang seperti Fathi Aris Omar, kumpulan-kumpulan pelukis muda, karyawan, seniman yang banyaknya indipenden. Kelihatan juga gerakan-gerakan idea seperti Open Dialogue Centre (ODC), Komunite Seni Jalan Telawi (KsjT) dan Middle Eastern Graduate Centre (MegC). Hasmi harus menggalas suara minoriti yang kelihatan dimamah tanpa sedar jerung majoriti. Dan lagi, sejauh mana pasaran idea boleh laku dalam Keadilan? Tiada siapa mampu menjawabnya. Dan lagi, adakah Anwar sedar atau ia masih mahu main tarik tali, main wayang kulit?

Untuk kesekian kalinya, trend idea jarang pergi jauh dalam arena pembangkang. Sebut saja apa slogannya tak kira "Bersih, Cekap, Amanah", "Membangun Bersama Islam", "Islam Hadhari", "Penyerapan Nilai-nilai Islam", apa pun, semuanya makin berkarat. Dalam minda kolektif bangsa, yang tinggal tunggul hanya Nik Aziz, Haji Hadi, Mahathir, Pak Lah, Anwar Ibrahim, Lim Kiat Siang. Ramai orang sanggup mati untuk nama-nama ini. Namun berapa pula yang benar-benar paham idea mereka.

Anwar besar kerana kebebasan dan keadilan tetapi tidak ada yang lebih besar daripada kebebasan dan keadilan itu sendiri. Atas paksi inilah Hasmi harus bergerak. Dan ingatlah bahawa 51 undi itu adalah benih. Secara retoriknya, boleh kita sebut sebagai "benih zaman". Jika mahu, dia boleh memilih jadi berhala untuk disembah. Tetapi berhala akan retak dimakan anai-anai. Tidak seperti idea yang punya seribu nyawa, seribu sayap. Harapnya, 51 undi ini boleh membawa kita terbang keluar daripada gothiknya politik yang sewel ini.

Semua orang berhak untuk tahu, untuk cerah. Saya dengar mereka kata, "Please enlightend me!"

Kita lihat apa keputusan separuh masa kedua.

[ kembali ke halaman utama ]